JOHOR BAHRU, 2 Disember – 242 tahanan warga asing dari pelbagai negara dihantar pulang ke negara asal sepanjang minggu ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Satu dan Dua di Sepang, Selangor serta Terminal Feri Stulang Laut di sini.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor memaklumkan, semua tahanan terbabit dihantar pulang setelah selesai menjalani hukuman penjara atas pelbagai kesalahan, termasuk yang melibatkan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
"Antara yang terlibat adalah 120 tahanan warga Indonesia, 62 warga Myanmar, 30 warga Bangladesh, 18 warga Vietnam, lima warga Thailand, lima warga Pakistan, serta seorang warga Filipina dan Sri Lanka," menurut JIM Johor menerusi hantaran di Facebook.
Kesemua mereka telah dikeluarkan dokumen perjalanan sementara oleh kedutaan masing-masing untuk membolehkan mereka pulang ke negara asal.
Selain itu, mereka turut disenarai hitam dalam sistem Jabatan Imigresen dan dilarang memasuki semula negara ini bagi tempoh yang ditetapkan.
Kos tiket penerbangan pula ditanggung sepenuhnya melalui wang simpanan mereka dan sumbangan ahli keluarga.