fb fb fb fb fb

23 bayi Merdeka dilahirkan di Terengganu pada 31 Ogos

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr. Kasemani Embong (tengah) bersama bayi merdeka kedua yang dilahirkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Seramai 23 bayi dilahirkan di Terengganu sempena tarikh keramat Hari Kemerdekaan negara pada 31 Ogos.

Daripada jumlah tersebut, 12 bayi lelaki dan 11 bayi perempuan selamat dilahirkan di seluruh negeri ini sejak pukul 12 tengah malam sehingga 11 pagi tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr. Kasemani Embong, memaklumkan bahawa kesemua bayi yang dilahirkan pada Hari Merdeka tahun ini menerima hadiah istimewa daripada beberapa pihak, termasuk Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu.

"Hospitals Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) menunjukkan bilangan kelahiran paling tinggi dengan 18 bayi, diikuti dengan Hospital Kemaman yang mencatatkan tiga kelahiran, serta masing-masing satu di Hospital Hulu Terengganu dan Hospital Setiu.

"Bayi Merdeka pertama dilahirkan pada pukul 1.23 pagi di HSNZ, oleh Syafinaz Mohamad, seorang suri rumah," katanya kepada pemberita pada majlis meraikan kelahiran bayi merdeka di Pusat Rawatan Ibu dan Anak (PRIBA).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha Dasar dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Mohd Zamri Mat Zain, serta Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Badrul Hisham Alias.

Ibu bapa bayi merdeka turut meluahkan rasa teruja dan gembira kerana bayi mereka dilahirkan pada tarikh bersejarah ini.

"Tak sangka dapat tarikh yang bermakna ini, 31 Ogos," kata Syafinaz Mohamad, ibu kepada bayi Merdeka pertama.

Seorang lagi ibu, Normala Zakaria, berkata, "Syukur sangat, tak sangka dapat bayi Merdeka... mertua ajak duduk sini, jadi kami duduk sini lah."

GRACE AISYAH KEDAYAN