fb fb fb fb fb

223 pegawai JKM ditempatkan bersama kanak-kanak mangsa eksploitasi

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri/Foto RTM

KUCHING, 14 September - Kesemua kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa dieksploitasi sebuah pertubuhan bukan kerajaan kini selamat dan dijaga oleh 223 pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, pegawai-pegawai ini sudah biasa mengurus kanak-kanak dan merupakan kepakaran dari pihaknya untuk membantu pihak polis.

Lokasi kanak-kanak yang diselamatkan kini hanya diketahui oleh pihak polis bersama pegawai-pegawai JKM yang dibawa bersama kerana operasi masih berlangsung.

Keutamaan sekarang katanya ialah kanak-kanak tersebut selamat dijaga dan disantuni mengikut keperluan.

"Kami hanya membantu pihak polis apa yang berlaku di sebaliknya itu hanya dalam pengetahuan polis dan kami tidak mahu mengganggu siasatan namun begitu, sebab ada yang bertanya cukup atau tidak kakitangan membantu daripada kementerian, kami JKM kita ada dalam 223 untuk membantu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Komuniti Santuni Madani sempena Kembara Kasih Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, KPWKM 2024 di Kampung Santubong di sini.

Antara yang menarik pada program tersebut ialah reruai pameran dan kaunter perkhidmatan, program advokasi kanak-kanak, pemeriksaan kesihatan percuma, pertandingan lagu patriotik dan pelbagai lagi.

Trainee