SHAH ALAM, 24 September- Sebanyak 22 syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM6.12 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Pembayaran zakat diserahkan kepada Timbalan Pengerusi LZS, Tan Sri Ambrin Buang, dalam satu majlis di sini, sambil disaksikan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Antara syarikat terlibat ialah D’Herbs Holdings Sdn Bhd, CTDK Holding Sdn Bhd, XpertsCo Sdn Bhd, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, Advanced Air Traffic Systems (M) Sdn Bhd, Bawal Sdn Bhd dan Public Islamic Bank Berhad.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Khaidzir Shahari berkata, pihaknya optimis mencapai sasaran kutipan zakat keseluruhan RM1.328 bilion tahun ini, termasuk RM205 juta daripada zakat perniagaan.
"Sehingga kini, lebih RM117 juta zakat perniagaan telah diterima daripada 8,500 syarikat.
Angka ini memberi petanda positif bahawa kesedaran korporat semakin meningkat,” katanya.
Beliau menambah, program kali ini turut menekankan kerjasama dengan Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) yang komited memperkasa potensi belia, pendidikan dan keusahawanan dalam kalangan B40 serta asnaf, selaras aspirasi Tengku Amir Shah.
"Penglibatan syarikat dalam wakalah zakat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membuktikan zakat bukan sahaja ibadah kewajipan, tetapi instrumen sosial yang memberi impak berganda kepada masyarakat," ujar beliau.
LZS menyeru lebih banyak syarikat terus menunaikan zakat perniagaan secara sistematik demi memperkukuh budaya korporat berjiwa besar.