fb fb fb fb fb

22 pelajar SMK Guntong sakit perut, muntah-muntah selepas bersarapan

FOTO HIASAN

SETIU, 8 November- 22 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Guntong, Setiu mengalami muntah dan sakit perut akibat keracunan makanan dalam kejadian di sebuah resort semalam.

Bagaimanapun kesemua pelajar berkenaan dilaporkan selamat.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu JPNT Jelani Sulong ketika dihubungi berkata berdasarkan laporan diterima, kejadian itu berlaku 8 pagi semalam melibatkan 48 calon Sijil Pelajaran Malaysia SPM.

Ketika kejadian kesemua pelajar sedang bersarapan di dewan makan ketika mengikuti Kem Anakku Cemerlang di resort tersebut.

Kesemua pelajar telah bersarapan secara layan diri yang telah disediakan pengusaha dewan makan di resort berkenaan.

Bagaimanapun sejam kemudian, lapan calon SPM telah mengadu sakit perut dan muntah-muntah. 

Susulan itu mereka telah dibawa ke Hospital Setiu  untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Jumlah pelajar yang mengadu sakit perut telah bertambah seramai dua orang dan mereka telah dihantar ke Klinik Kesihatan Permaisuri oleh guru terlibat.

Tidak lama kemudian 12 lagi pelajar mengalami simptom yang sama dan sehingga 2 petang semalam 10 pelajar menerima rawatan di hospital.

Seorang daripada mereka telah dimasukkan ke dalam wad untuk rawatan susulan manakala sembilan lagi telah dibenarkan pulang.

Mengulas lanjut Jelani berkata, pihak Pejabat Kesihatan Daerah Setiu telah ke resort itu menjalankan siasatan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE