JOHOR BAHRU, 1 Februari – Seramai 212 guru telah dihantar menjalani latihan secara berperingkat di National Institute of Education (NIE), Singapura, sebagai persediaan pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor di empat sekolah rintis yang akan bermula pada 17 Februari ini.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin, berkata latihan ini tidak hanya tertumpu kepada guru mata pelajaran tertentu, tetapi merangkumi semua guru di sekolah terbabit bagi memastikan mereka memahami sepenuhnya hala tuju pendidikan negeri Johor.
"Latihan untuk guru-guru telah disusun sejak tahun lepas, bermula pada bulan November dan Disember. Pada 10 Februari ini, kumpulan seterusnya akan dihantar ke Singapura untuk mengikuti latihan tambahan.
"Seramai 212 guru terlibat, dan latihan ini tidak hanya tertumpu kepada guru sains atau matematik sahaja, tetapi kepada semua guru agar mereka selari dengan hasrat Kerajaan Negeri Johor dalam memperkasa pendidikan negeri ini," katanya.
Aznan turut menjelaskan bahawa tumpuan turut diberikan kepada penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan guru.
"Kerajaan Negeri Johor telah menetapkan standard tertentu, dan atas sebab itu, guru-guru kita dihantar ke NIE Singapura untuk menjalani latihan sehingga mencapai tahap Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) C1, iaitu tahap tertinggi bagi guru bahasa Inggeris di negeri ini," tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Bantuan Kasih Murid Johor 2025 di sebuah pasar raya di Johor Bahru.
Aznan turut menegaskan bahawa pelaksanaan Sekolah Bangsa Johor tidak akan mengubah dasar pendidikan negara seperti yang telah ditetapkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sebaliknya hanya menambah baik silibus sedia ada dengan elemen baharu yang telah dirancang.
Empat sekolah yang terlibat dalam projek rintis ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Puteri 2, Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Puteri 4, SMK Tasek Utara dan SK Tasek Utara.