fb fb fb fb fb

21 projek digital kerajaan diintegrasikan dengan teknologi 4IR

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 September- 21 daripada 25 projek digital kerajaan, yang disasarkan untuk dicapai sehingga 2025, telah diintegrasikan dengan teknologi revolusi industri ke-empat (4IR).

Perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) Bil.2/2024.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pelaksanaan Fasa 2 Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) dan Dasar 4IR Negara (D4IRN) menunjukkan perkembangan positif.

"Melalui inisiatif 'Digital Investment Office', usaha menarik pelaburan dalam bidang digital yang strategik terus diselaraskan, dengan pelaburan digital berjumlah RM185.3 billion diluluskan daripada tahun 2021 hingga Jun 2024, termasuk projek-projek dari syarikat terkemuka seperti NVIDIA dan Amazon Web Services (AWS)," katanya.

Dalam pada itu Anwar yang juga pengerusi mesyuarat berkenaan turut memaklumkan berkenaan status pelaksanaan rangkaian 5G negara, yang antara terpantas di dunia mencatatkan 82 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk.

"Namun, saya tegaskan terdapat keperluan untuk memperluaskan lagi perkhidmatan 5G ke seluruh negara dengan keutamaan diberikan di kawasan perindustrian, perkhidmatan kritikal, sekolah dan terutamanya di kalangan institusi pengajian tinggi awam," katanya lagi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI