fb fb fb fb fb

209 Program Jualan Rahmah KPDN Perlis sepanjang 2023

KPDN PERLIS

KANGAR, 20 Januari- Sebanyak 209 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis sepanjang tahun lalu yang memberi manfaat kepada lebih 210,000 rakyat di negeri itu.

Daripada jumlah itu, 149 dilaksana menerusi Jualan Rahmah Bergerak, manakala selebihnya di premis-premis perniagaan terpilih di kesemua 15 kawasan Dewan Undangan Negeri seluruh Perlis.

Pengarah KPDN Negeri, Norazah Jaapar dalam kenyataannya memaklumkan, nilai jualan keseluruhan yang direkodkan bagi kesemua siri Jualan Rahmah seluruh Perlis mencecah RM5,119,373.90

Beliau berkata, inisiatif Jualan Rahmah yang dilaksanakan setiap minggu di lokasi terpilih dilihat menjadi pilihan utama rakyat untuk mendapatkan barangan keperluan keperluan harian pada harga lebih murah dan berpatutan sekali gus meningkatkan penjimatan perbelanjaan harian mereka.

"Berbanding pelaksanaan di premis perniagaan terpilih, rakyat negeri ini lebih tertumpu kepada program Jualan Rahmah Bergerak menerusi pendekatan 'Kedai Cari Rakyat' berikutan pelaksanaannya berhampiran lokasi penempatan penduduk.

"KPDN Perlis sentiasa komited untuk menambah baik inisiatif Program Jualan Rahmah sepanjang 2024 sebagai usaha memastikan manfaatnya terus dinikmati golongan sasar dimana sehingga 19 Januari 2024, sebanyak tiga siri program telah dilaksanakan,"katanya dalam kenyataan tersebut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE