KUALA LUMPUR, 10 Disember- Kira-kira 200 peserta berjalan sejauh 2.5 kilometer (km) terlibat dalam Program Amal 'Blind Leading The Blind' ke-14.
Program yang berlangsung di Jalan Tun Sambathan dianjurkan oleh Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) dengan kerjasama Lions Clubs dan Rotary Clubs.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hadir menyempurnakan pelepasan peserta program tersebut.
Beliau berharap penganjuran program seumpama itu dapat dipertingkat dari semasa ke semasa dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Jadi saya harap kawan-kawan dari Lions Club, Rotary Club mungkin untuk tahun depan, cadangan saya kita bawa program 'Blind Leading The Blind' ini ke Putrajaya", katanya ketika berucap dalam program tersebut di sini.
Sementara itu, peserta yang ditemui berpendapat program ini adalah pendekatan terbaik untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai cabaran golongan cacat penglihatan dalam menjalani kehidupan seharian.
"Saya rasa ini memang bagus walau hanya 2.5 kilometer (km) tapi bersemangat untuk kawan-kawan yang lain", kata peserta Hami Pauzee.
"Kesedaran kepada masyarakat terutamanya masyarakat orang biasa, mereka dapat pengetahuan mengenai halangan yang wujud di pesekitaran yang menghalang orang kurang upaya (OKU) penglihatan terutamanya berjalan dan kekurangan infrastruktur mereka juga rasai", kata peserta Dr Lim Tien Hoong.
Selain itu, program amal tersebut diadakan bertujuan untuk mengumpul dana bagi sumbangan kos rawatan mata dan pembedahan katarak dalam kalangan individu cacat penglihatan kurang berkemampuan.