fb fb fb fb fb

200 pemilik motosikal tukar minyak hitam secara percuma

Program yang diketuai Pengurus GIATMARA Arau, Rostina Hussain itu melibatkan 10 pelatih kursus automotif.

SIMPANG EMPAT, 20 Ogos- Sebanyak 200 pemilik motosikal tidak melepaskan peluang bagi mendapatkan perkhidmatan menukar minyak hitam motosikal secara percuma yang disediakan GIATMARA Arau.

Program itu bersempena Hari Bertemu Pelanggan dan MARA Prihatin yang berlangsung di Arked MARA Simpang Empat selama dua hari yang berakhir petang ini.

Pengarah GIATMARA Negeri, Harun Radzi memaklumkan, ia sebagai satu tanggungjawab sosial kepada komuniti setempat, selain berkongsi kepakaran yang dimiliki pelatih GIATMARA.
 
"Pelaksanaan program tersebut, salah satu usaha GIATMARA mengeratkan hubungan pelatih dan masyarakat seterusnya memperkenalkan pusat pengajian kemahiran itu kepada orang ramai.

"Pelaksanaan program sebegini bukan sahaja memanfaatkan masyarakat, tetapi memberi pendedahan kepada pelatih tentang situasi kerja yang sebenar dan berdepan pelanggan apabila tamat latihan kelak," katanya kepada pemberita di sini.

Program yang diketuai Pengurus GIATMARA Arau, Rostina Hussain itu melibatkan 10 pelatih kursus automotif.

Pelbagai aktiviti turut dilaksanakan iaitu khidmat nasihat pembangunan usahawan, pembiayaan MARA, pameran agensi kerajaan serta pemeriksaan kesihatan percuma.
 
Menerusi program tersebut, GIATMARA juga mengambil peluang mempromosikan pengambilan pelatih baharu pada sesi Januari 2025.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM