(Datuk Sri Fadillah semasa menghadiri sesi santai bersama pengusaha tanaman
koko bersempena Program Trek Komoditi 2023 (Zon Utara Semenanjung))
KODIANG, 12 Jun- Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) merancang untuk membantu petani membuka kira-kira 200 hektar kawasan tanaman koko baharu di seluruh negara, tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Sri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah itu, 80 hektar akan dibuka di Semenanjung, 110 hektar di Sabah dan 10 hektar di Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata pada masa ini, jumlah keluasan tanaman koko negara adalah seluas 5,985 hektar meliputi 3,444 hektar di Sabah, 1,454 hektar di Sarawak dan 1,087 hektar di Semenanjung.
"Kementerian melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) terus komited dalam melaksanakan program bagi merancakkan pengeluaran biji koko.
"Antaranya mempertingkat keluasan penanaman bagi menjamin kelangsungan sektor koko negara." kata Fadillah semasa menghadiri sesi santai bersama pengusaha tanaman koko bersempena Program Trek Komoditi 2023 (Zon Utara Semenanjung) di sini.
Sesi tersebut berlangsung di kediaman salah seorang pekebun kecil koko, Zulkifli Romli di Kampung Kubang Menerong di sini.
Zulkifli telah mengusahakan tanaman koko sejak tahun 2015 menerusi program pembangunan koko LKM.
Bersempena lawatan itu, Fadillah turut melawat tapak pemprosesan biji koko termasuk kotak pemeraman biji koko basah dan pelantar pengering.
Di Kedah, terdapat 14 pekebun koko melibatkan kawasan seluas 4.38 hektar di daerah Kubang Pasu dan Padang Terap.
(Datuk Sri Fadillah berkata 200 hektar kawasan tanaman koko baharu dibuka)