
KUALA LUMPUR, 7 Februari- Seramai 20 pengamal dan bekas pengamal media menerima bantuan pek makanan menerusi program Jelajah Kasih Ramadan iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Etiqa dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
- 20 pengamal dan bekas pengamal media menerima pek makanan dalam program Jelajah Kasih Ramadan oleh Etiqa dan Islamic Aid Malaysia.
- Bekas pengamal Suhaimi Mahadi hargai keprihatinan kerana mereka sering liput penerima sumbangan tetapi kini penerima bantuan pula.
- Program bertujuan menyantuni pengamal media atas peranan mereka menyampaikan maklumat dan mendidik masyarakat.
Salah seorang bekas pengamal media, Suhaimi Mahadi yang telah berkhidmat selama 25 tahun dalam bidang penyiaran mengucapkan terima kasih atas keprihatinan pihak berkenaan.
“Sebelum ini, kami sering membuat liputan tentang penerima sumbangan dan tidak pernah terfikir suatu hari nanti kami pula yang akan menerima bantuan. Jadi, saya amat berterima kasih atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan,” katanya.
Sementara itu, bekas pengamal media lain, Noriah Idris, mengambil keputusan menamatkan kerjayanya selama 10 tahun dalam bidang ini selepas terlibat dalam kemalangan yang menjejaskan kesihatannya.
“Sejujurnya saya tidak menyangka masih ada pihak yang menghargai bekas pengamal media seperti kami dan tampil menghulurkan bantuan menjelang Ramadan ini. Sudah tentu bantuan ini sangat meringankan saya,” tambahnya.
Menurut penganjur, program berkenaan bertujuan menyantuni pengamal media atas peranan mereka menyampaikan maklumat, mendidik masyarakat serta menjadi medium komunikasi antara organisasi dan rakyat.