BINTULU, 16 September - Dua buah rumah setinggan berhampiran San-San Garden, di sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran sekitar pukul 11.25 pagi tadi.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, panggilan kecemasan diterima pada 11.25 pagi sebelum sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi pada pukul 11.32 pagi, pasukan bomba mendapati dua rumah setinggan jenis struktur tidak kekal terbakar 100 peratus.
"Api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 11.42 pagi, sekali gus menghalang kebakaran daripada merebak ke rumah ketiga yang hanya mengalami kerosakan kecil akibat bahang panas," menurut kenyataan tersebut.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.