fb fb fb fb fb

2,953 penduduk terjejas banjir di empat negeri pagi ini

FOTO FAIL

KUALA LUMPUR, 27 Januari - Sebanyak 2,953 penduduk terjejas banjir masih berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat pukul 6.00 pagi tadi.

Laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) memaklumkan, di Terengganu, sebanyak 1,188 penduduk ditempatkan di 10 PPS di Dungun, Besut (tujuh PPS, 416 penduduk ), Setiu (empat PPS, 87 penduduk ) dan Hulu Terengganu (tiga PPS, 121 penduduk ).

"Di Kelantan, enam PPS dibuka di Tanah Merah dengan menempatkan 325 penduduk , Kuala Krai (tiga PPS, 85 penduduk ) dan Pasir Puteh (satu PPS, 28 penduduk ) manakala di Pahang, satu PPS dibuka di Kuantan yang menempatkan 468 penduduk dan satu PPS di Rompin dengan sembilan penduduk.

"Di Johor, 197 penduduk terjejas banjir ditempatkan di satu PPS di Mersing dan 29 penduduk di satu PPS di Kota Tinggi," menurut NADMA.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang dan Mersing, Sungai Pungai, Sungai Johor dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Pahang di Jerantut, Cameron Highlands, Kuantan, Maran dan Pekan, Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

NADMA turut memaklumkan 37 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun Terengganu, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Utama Panching di Kuantan, Pahang.

TETITIA YUSOFF