KUALA LUMPUR, 7 November - Seramai 2,714 individu telah menerima ubat Pre-exposure Prophylaxis (PrEP) menerusi program perintis dalam mengurangkan risiko penularan jangkitan HIV.
Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa berkata berdasarkan analisis sehingga bulan keenam penggunaan PrEP menunjukkan terdapat penurunan kadar jangkitan penyakit sifilis daripada 11 peratus kepada kurang daripada satu peratus.
Selain itu, Dr. Zaliha berkata peratus klien yang tidak menggunakan kondom menurun daripada 6.3 peratus kepada 3.9 peratus manakala peratus klien yang mempunyai lebih daripada satu pasangan juga menurun daripada 44.5 peratus kepada 36.1 peratus.
Katanya, dapatan awal kajian juga menunjukkan individu yang mengambil PrEP mematuhi serta mengamalkan nasihat pencegahan jangkitan HIV.
"Terdapat 14 klien yang telah berhenti menggunakan PrEP kerana tidak lagi melakukan aktiviti seksual yang berisiko. Terdapat tiga kes positif HIV (0.11%), kerana pengguna tidak patuh kepada pengambilan PrEP. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara lain yang melaksanakan PrEP lebih awal," ,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini.
Tambah Dr.Zaliha, KKM turut memperluaskan jaringan program tersebut ke 21 Klinik pada tahun ini dan 30 klinik pula bagi tahun hadapan.