fb fb fb fb fb

2,700 pek bubur lambuk diagih di tiga DUN di Perlis

Para peserta menyediakan bubur lambuk untuk diagihkan kepada DUN Beseri, Titi Tinggi dan Chuping

CHUPING, 31 Mac- UMNO Bahagian Padang Besar mengagihkan kira-kira 2,700 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk setempat melibatkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Beseri, Titi Tinggi dan Chuping.
 
Pengagihan bubur lambuk dibuat menerusi Program Bubur Lambuk Ramadan bagi menyemarakkan bulan Ramadan melibatkan ketiga-tiga DUN berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Padang Besar Ruzaini Rais berkata, pelaksanaan itu menghimpunkan lebih 150 penduduk di ketiga-tiga DUN bersama-sama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP).
 
"Program ini dilaksanakan secara santai, sebanyak tiga periuk besar disediakan bagi setiap kawasan yang membolehkan penduduk di Beseri, Tinggi dan Chuping dapat bersama-sama berkongsi rezeki.

"Walaupun tidak banyak, yang penting semangat gotong-royong dan hormat-menghormati serta memperkukuh ukhwah antara satu sama lain," katanya dalam Program  Bubur Lambuk  Ramadan di Kampung Kok Klang, di sini.

Program itu dimulakan di Kampung Ngulang, Mata Ayer sebelum diteruskan ke empat lagi Kawasan DUN bagi Parlimen Padang Besar.

Ia juga dilaksanakan setiap tahun setiap kali Ramadan dengan melibatkan JPKKP komuniti masing-masing.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI