PETALING JAYA, 2 Mac- Negara masih memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah secara purata setiap hari bagi memastikan stok bekalan darah mencukupi dalam menghadapi sebarang kemungkinan pada masa depan.
Justeru, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pihaknya akan memperhebat usaha mempromosikan kempen derma darah dengan kerjasama Pusat Darah Negara (PDN) dan St John Ambulans Malaysia (SJAM).
“Walaupun kita mempunyai lebihan bekalan darah, kita tidak mahu selesa kerana kita tahu mungkin dalam situasi atau keadaan tertentu bekalan darah yang lebih akan diperlukan, jadi kita sentiasa membantu kempen derma darah ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Suite Derma Darah SJAM yang pertama di pusat beli-belah 1 Utama di sini, hari ini.
Mengulas tentang aktiviti menderma darah pada Ramadan, Dzulkefly berkata walaupun kebiasaannya menyaksikan penurunan angka penderma darah, perkara itu tidak akan mengendalakan operasi perolehan darah secara keseluruhan.
“Aktiviti derma darah merentasi kaum dan agama, lagipun tidak ada masalah dari sudut hukum agama untuk menderma darah (ketika berpuasa), paling penting seseorang itu sihat, itu syarat utama,” katanya.
Buat masa ini, pendermaan darah daripada individu bagi semua jenis kumpulan darah diperlukan khususnya bagi jenis kumpulan darah O dan A.