LANGKAWI, 3 Januari-Seramai 196 Pendatang Tanpa Izin PATI warga Myammar berjaya ditahan pihak berkuasa di perairan pantai Teluk Yu, Langkawi awal pagi tadi.
Kesemua mereka ditahan selepas bot yang membawa mereka terkandas di perairan itu kira-kira pukul 3.25 minit pagi tadi.
Menurut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah terdapat dua lagi bot yang dipercayai membawa PATI berada di laut namun lokasi sebenar masih belum dapat dikenalpasti.
Beliau berkata Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi GUARD Bil. 4/2025 selain turut menggandakan rondaan bagi mengesan saki baki PATI yang dilaporkan menuju ke Pulau Langkawi.
"Pesawat udara juga digerakkan bagi melaksanakan pemantauan udara serta meningkatkan lagi pemantauan radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA)"
"Maritim Malaysia juga telah berhubung dengan pihak berkuasa Thailand untuk mengenalpasti pergerakan dua bot berkenaan", beliau berkata demikian dalam satu kenyataan.
Komuniti maritim sekitar Langkawi diminta menyalurkan maklumat segera ke talian 999 atau hubungi Maritim Rescue Sub Centre (MSRC) Langkawi di talian 04-9662750 atau 011-58925868 jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan di perairan negara.