
BINTULU, 12 Januari– Sebanyak 19 buah sekolah di daerah Tatau dan Sebauh, Bintulu, Sarawak tidak dapat beroperasi hari ini berikutan kawasan sekolah masih dinaiki air serta jalan yang menghubungkan laluan sekolah terputus akibat banjir yang melanda kawasan berkenaan.
- 19 sekolah di Tatau dan Sebauh ditutup kerana kawasan sekolah masih dinaiki air dan jalan penghubung terputus.
- Keputusan penutupan dibuat selepas tinjauan pada 11 Januari untuk menilai keselamatan dan kebolehcapaian.
- PPD Bintulu akan memantau situasi banjir dan memaklumkan perkembangan operasi sekolah kepada ibu bapa serta pihak berkepentingan.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat susulan hasil tinjauan yang dijalankan pada 11 Januari lalu, bagi menilai tahap keselamatan dan kebolehcapaian ke sekolah-sekolah terlibat.
“Penutupan sementara sekolah berkenaan adalah sebagai langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan murid, guru serta kakitangan sekolah tidak terjejas,” kata kenyataan itu.
PPD Bintulu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi banjir dari semasa ke semasa.
Selain itu, pihaknya akan memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berkaitan operasi sekolah kepada ibu bapa serta pihak berkepentingan.