fb fb fb fb fb

180 CCTV bakal dipasang di Putrajaya, Labuan bagi tujuan keselamatan

Foto RTM

PUTRAJAYA, 19 Februari – Wilayah Persekutuan terus dipacu ke arah pembangunan mampan dan bandar pintar menerusi visi CHASE City 2025-2029, yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan rakyat, inovasi teknologi, dan peningkatan sosioekonomi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata sebagai langkah awal membentuk bandar pintar, sebanyak 180 kamera litar tertutup (CCTV) akan dipasang di Putrajaya dan Labuan. Selain itu, CCTV di sekitar Kuala Lumpur juga akan diintegrasikan dengan Pusat Kawalan Kuala Lumpur bagi meningkatkan pemantauan keselamatan.

"Bagi saya, tanggungjawab membangunkan Wilayah Persekutuan bukan hanya terletak di bahu kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), dan agensi sahaja, tetapi ia juga perlu melibatkan semua pihak berkepentingan.

"Kita mahu memastikan pembangunan Wilayah Persekutuan lebih mampan, sejahtera, makmur, dan berdaya huni untuk warganya," katanya .

Dr. Zaliha turut menggesa semua pihak, termasuk warga kerja Wilayah Persekutuan, untuk terus memperkukuh tata kelola dan mempercepat penyelesaian aduan rakyat bagi memastikan keberkesanan perkhidmatan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Zaliha menegaskan kerajaan komited memastikan limpahan ekonomi dirasai setiap lapisan masyarakat Wilayah Persekutuan, khususnya golongan miskin bandar.

Menurutnya, Program Pembangunan Usahawan Komuniti (PUSH) yang sebelum ini berjaya membantu golongan B40, akan diperluas kepada lebih ramai penerima termasuk wanita dan golongan miskin bandar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Aspirasi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) 2025 di Putrajaya hari ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD