fb fb fb fb fb

18 Smartlane ditambah sempena Aidilfitri - PLUS

Datuk Nik Airina Nik Jaffar

PETALING JAYA, 27 Mac- Plus Malaysia Berhad (PLUS) menambah laluan Smartlane kepada 18 lokasi tumpuan trafik di lebuh raya bagi membantu melancarkan pergerakan trafik sempena perayaan Aidilfitri.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, penambahbaikan itu bertujuan memudahkan pengguna lebuh raya menggunakan laluan itu bagi menguruskan kesesakan dan menambah kapasiti lorong di lokasi-lokasi kritikal sepanjang lebuh raya.

Penambahbaikan tersebut juga termasuk pemasangan lampu hijau berkelip dan penambahan papan tanda peringatan pembukaan Smartlane di lokasi yang telah dikenal pasti.

"Ini adalah lokasi yang lebih tinggi menurut rekod perayaan-perayaan sebelum ini. Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) kita mendapati smart lane ini dapat membantu dalam menangani atau mengurangkan kesesakan sepanjang lebuh raya kita di lokasi-lokasi yang tertentu," katanya kepada pemberita di sini.

PLUS juga menjangkakan 2.1 juta aliran trafik pada waktu puncak semasa Aidilfitri. Ia menunjukkan peningkatan 15 peratus berbanding 1.82 juta pada hari biasa. Trafik puncak pula dijangka berlaku pada 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April 2024.

Majlis itu turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad Datuk Ir Zakaria Ahmad Zabidi; Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintenden Khairul Azhar Ismail dan Pengarah Kanan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Lokman Jamaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI