JOHOR BAHRU, 17 Ogos- 18 keluarga yang terjejas akibat ribut di Flat Ros Merah, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, Jumaat lalu dipindahkan sementara ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah, menurut Exco Johor, Datuk Jafni Md Shukor.
Semua kos biaya awal dan sewa hingga hujung tahun ini ditanggung sepenuhnya kerajaan Johor termasuk deposit sewa RM650, sewa bulanan RM250 serta bil meter masuk air dan eletrik berjumlah RM850.
Keluarga lain yang tidak berpindah ke PPR ini memilih untuk tinggal bersama saudara.
"Tetapi memang kita dah sediakan bajet yang sepatutnya, insya-Allah kita akan selesaikan. Kerajaan akan selesaikan pembaikan rumah tersebut dalam masa yang sama kita menjaga mereka mangsa-mangsa ribut tersebut," kata Jafni kepada pemberita selepas menyerahkan kunci rumah PPR kepada penduduk terjejas, di sini.
(18 keluarga terjejas ribut dipindahkan sementara ke PPR Pelangi Indah)
Tambahnya, proses baik pulih semua kerosakan dijangka siap dalam tempoh dua bulan.
Jumaat lalu, 85 penduduk daripada 22 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serba Guna Taman Johor Jaya selepas kediaman mereka rosak akibat ribut.
PPS berkenaan dijangka tutup minggu ini selepas semua urusan penduduk terjejas selesai.
"Makan semua cukup, banyak bantuan kami dapat, jadi hari ni kita dapat kunci rumah sementara selama 3 bulan, alhamdulillah semua baik," kata penerima kunci PPR, Muhamad Farhan Kassim.
"Harapan kita dapat tempat tinggallah, tak kira macam mana tempat tinggal pun, janji kita ada tempat tinggal," kata seorang lagi penerima kunci PPR yang hanya ingin dikenali sebagai Helda.