
PUTRAJAYA, 14 Januari – Seramai 17 peserta terpilih mewakili negara menyertai Program Kapal Belia Asia Tenggara dan Jepun (SSEAYP) edisi ke-49/2026 sebagai platform melahirkan belia berwawasan global.
- 17 peserta terpilih mewakili Malaysia dalam Program SSEAYP edisi ke-49/2026 sebagai platform melahirkan belia berwawasan global.
- Peserta berumur 18 hingga 30 tahun menjalani persiapan rapi sejak pertengahan tahun lalu melalui kem bimbingan dan latihan berperingkat.
- Penyertaan selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 untuk melahirkan belia berintegriti serta berdaya saing.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, kesemua peserta telah menjalani persiapan rapi sejak pertengahan tahun lalu meskipun datang daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar dan golongan bekerja.
“Peserta program ini telah menjalani persiapan menerusi kem bimbingan sejak pertengahan tahun lalu. Mereka dimaklumkan lebih awal dan mengambil masa beberapa bulan untuk membuat persediaan kerana terdiri daripada pelajar serta individu yang bekerja, justeru latihan dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesesuaian masa,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen SSEAYP pada Selasa.
Kesemua peserta berusia antara 18 hingga 30 tahun itu dipilih menerusi proses saringan rapi bagi memastikan mereka berdaya saing, berdisiplin serta mampu membawa imej positif Malaysia di peringkat antarabangsa.
Program SSEAYP yang dilaksanakan sejak 1974 melibatkan penyertaan belia dari 10 negara ASEAN, dengan Jepun sebagai negara penganjur.
Bagi edisi kali ini, seramai 181 peserta secara keseluruhan akan mengikuti pelayaran bermula 15 Januari hingga 17 Februari 2026, dengan Singapura dan Thailand sebagai negara persinggahan.
Penyertaan Malaysia selari dengan aspirasi Malaysia MADANI dan Model Pembangunan Belia MADANI 2030 dalam usaha melahirkan generasi belia yang berintegriti serta berdaya saing.
Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.