17 jalan sekitar George Town ditutup sempena Thaipusam

Foto fail / BERNAMA

GEORGE TOWN, 29 Januari -Sebanyak 17 jalan sekitar bandar raya ini akan ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan pedati emas dan perak sempena sambutan Thaipusam.

RINGKASAN BERITA AI
  • 17 jalan sekitar bandar ditutup bagi memberi laluan kepada perarakan pedati emas dan perak sempena Thaipusam.
  • Penutupan dilaksanakan 6 pagi hingga 12 tengah malam, Ahad hingga Selasa, dengan 1,280 pegawai polis ditugaskan.
  • Orang ramai dinasihatkan guna pengangkutan awam, rancang perjalanan awal dan elak memakai barang kemas atau bermain mercun.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Abdul Rozak Muhammad berkata, antara laluan yang ditutup sepenuhnya ialah Jalan Kebun Bunga dan Jalan Lorong Air Terjun.

Manakala Lebuh Victoria dan Lebuh Campbell akan ditutup sementara, bergantung kepada pergerakan pedati sepanjang sambutan.

Beliau memaklumkan, penutupan jalan akan dilaksanakan bermula pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam, dari Ahad hingga Selasa ini.

“Bagi memastikan kelancaran dan keselamatan, seramai 1,280 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang tempoh sambutan.

Sambutan Thaipusam nanti dijangka dihadiri lebih satu juta penganut Hindu dan pengunjung dari dalam serta luar negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ACP Abdul Rozak turut menggalakkan penggunaan pengangkutan awam, termasuk perkhidmatan feri kepada pengunjung dari Seberang Perai.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak memakai barangan kemas berlebihan serta tidak bermain mercun atau bahan berapi sepanjang sambutan,” katanya.