fb fb fb fb fb

Lebih 60 fasiliti PDRM, KKM dinaiki air banjir

FOTO FB PDRM PASIR MAS

KUALA LUMPUR, 29 Disember- Sebanyak 17 fasiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu, setakat semalam.

Menurut Laporan Harian Bencana oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), 14 daripadanya adalah fasiliti PDRM di Kelantan.

Ia melibatkan Balai Polis Pasir Mas dan 13 Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pasir Mas.

Sementara tiga lagi adalah fasiliti PDRM di Terengganu iaitu Balai Polis Kuala Jengai, Pondok Polis Pasir Raja di Dungun dan Pondok Polis Felda Tenang di Besut.

"(Data berkenaan) merujuk kepada laporan pihak PDRM pada 28 Disember 2023 (semalam)," menurut laporan NADMA hari ini.

Dalam pada itu, terdapat 51 fasiliti milik Kementerian Kesihatan (KKM) terjejas banjir iaitu Kelantan melibatkan 23 fasiliti, diikuti Pahang (17) dan Terengganu (11).

"Sebanyak 34 fasiliti kesihatan telah berpindah operasi ke fasiliti alternatif dan satu fasiliti kesihatan tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan," menurutnya lagi.

SITI AISHAH BINTI MD ISA