KUALA LUMPUR, 18 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah merampas sejumlah 17,320 helai pelbagai jenis pakaian seperti jersi, seluar dan baju jenama terkenal yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah.
Kesemua pakaian tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM254,950.
Ia hasil serbuan ke atas tiga buah premis yang merupakan rumah kediaman,Kampung Kubu Gajah, Sg. Buloh, Selangor disyaki dijadikan stor tempat menyimpan pelbagai jenis pakaian tiruan .
Operasi pada 15 Mei itu dilakukan oleh sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya hasil aduan yang diterima daripada pihak wakil pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan serta risikan awal yang telah dilakukan oleh pihak KPDN.
Hasil maklumat awal yang diperolehi, kesemua rumah berkenaan disyaki dijadikan stor untuk menyimpan kesemua pakaian terbabit sebelum dipasarkan secara borong dan runcit selain dijual di pasar pagi dan pasar malam sekitar Lembah Klang, Perak dan Pahang.
Pasukan serbuan juga telah bertindak menahan seorang wanita berusia 33 tahun, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, untuk membantu siasatan.