
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Sebanyak 166 kes tunggakan nafkah berjaya diselesaikan melalui pelaksanaan perintah hiwalah atau garnishment order bagi tempoh 2022 hingga 2025, sebagai antara mekanisme penguatkuasaan yang digunakan Mahkamah Syariah bagi memastikan bekas suami mematuhi perintah nafkah.
- Perintah hiwalah membolehkan tindakan ke atas akaun bank atau sumber kewangan penghutang untuk melunaskan tunggakan nafkah kepada bekas isteri dan anak.
- Pelaksanaan menghadapi cabaran seperti kekurangan kerjasama institusi kewangan dan majikan, maklumat akaun tidak lengkap, dan dana tidak mencukupi.
- Kerajaan melalui Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah akan memperkukuh penguatkuasaan bagi melindungi kebajikan bekas isteri dan anak.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli berkata, perintah hiwalah membolehkan tindakan diambil terhadap akaun bank atau sumber kewangan penghutang bagi melunaskan tunggakan nafkah kepada bekas isteri serta anak-anak.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Senator Jufitri Joha di Dewan Negara berhubung keberkesanan mekanisme penguatkuasaan tersebut.
“Walaupun jumlah kes yang diselesaikan melalui kaedah ini dilihat tidak begitu besar, ia tetap menjadi antara langkah penting dalam memastikan perintah nafkah yang dikeluarkan Mahkamah Syariah dapat dilaksanakan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata terdapat beberapa cabaran dalam melaksanakan prosiding hiwalah, termasuk mendapatkan kerjasama daripada institusi kewangan dan majikan.
Menurutnya, antara cabaran yang dikenal pasti ialah kesukaran memperoleh maklumat terkini mengenai majikan atau akaun bank penghutang penghakiman apabila pihak berkenaan tidak memberikan kerjasama.
Selain itu, terdapat juga keadaan di mana jumlah wang dalam akaun penghutang tidak mencukupi bagi melunaskan tunggakan nafkah yang telah diputuskan oleh mahkamah.
Beliau turut memaklumkan bahawa cabaran lain melibatkan ketidakjelasan jenis akaun bank penghutang sama ada akaun perbankan Islam atau konvensional, sekali gus menyukarkan pelaksanaan perintah tersebut.
Dalam masa sama, terdapat juga kes melibatkan majikan daripada sektor swasta atau bukan beragama Islam yang enggan terikat dengan keputusan Mahkamah Syariah, selain ada yang mendapat nasihat perundangan bahawa perintah tersebut tidak mengikat organisasi mereka.
Sehubungan itu, kerajaan melalui Bahagian Sokongan Keluarga di bawah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia akan terus memperkukuh usaha penguatkuasaan bagi memastikan kebajikan bekas isteri dan anak-anak sentiasa terpelihara serta hak nafkah yang diputuskan mahkamah dapat dilaksanakan.