16 pegawai PDRM berlepas ke Sudan Selatan bagi Misi Pengaman PBB

Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof (lima kanan) bersama 16 pegawai PDRM yang terlibat Misi Pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS)

SEPANG, 31 Januari- Seramai 16 pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berlepas ke Sudan Selatan hari ini bagi menyertai misi pengaman di bawah naungan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dikenali sebagai Misi Pengaman PBB di Sudan Selatan (UNMISS).

RINGKASAN BERITA AI
  • 16 pegawai PDRM bertolak ke Sudan Selatan untuk menyertai Misi Pengaman PBB UNMISS bagi tempoh 12 bulan.
  • Peranan mereka sebagai Pegawai Polis Individu termasuk penasihat, mentor, dan pemudah cara kepada polis Sudan Selatan.
  • Penekanan kepada menjaga nama baik Malaysia, disiplin, integriti dan kerjasama erat antara anggota misi.

Timbalan Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan kesemua pegawai itu menyertai misi berkenaan selama 12 bulan.

“Saya mengingatkan mereka agar sentiasa menjaga nama baik Malaysia dan PDRM. Jaga diri semasa bertugas dan sentiasa berdisplin serta berintegriti,” katanya pada Majlis Atur Gerak UNMISS di sini hari ini.

Menurutnya, pegawai terpilih akan bertindak sebagai Pegawai Polis Individu (IPO) yang tidak hanya bertugas untuk menjaga keselamatan awam tetapi berfungsi sebagai penasihat, mentor dan pemudah cara kepada Perkhidmatan Polis Kebangsaan Sudan Selatan dalam usaha membina semula institusi kepolisan yang profesional, berintegriti dan dihormati rakyat.

Sementara itu, pegawai yang ditemui menzahirkan komitmen mereka untuk berkhidmat kepada komuniti tempatan dan antarabangsa sepanjang misi berlangsung.

“Saya akan berkhidmat untuk komuniti terutamanya wanita dan kanak-kanak. Saya akan menggunakan pengalaman ini sebaik mungkin untuk membantu mereka,” DSP Chan Yew Hiok

Selain itu, DSP Ahmad Suhaili Abu Bakar menegaskan kejayaan misi bergantung kepada kerjasama erat antara semua anggota pasukan.

“Saya percaya banyak cabaran akan ditempuhi tetapi dengan kerjasama 16 pegawai, kita ibarat keluarga yang saling berganding bahu,” katanya.

Dalam masa sama, Sarjan Stephen Lachamanaidu menyatakan setiap pegawai bertanggungjawab memastikan keamanan setempat dan membimbing polis tempatan Sudan Selatan.

“Saya akan menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh dedikasi. Keluarga saya sedih kerana terpaksa berjauhan tetapi mereka berasa bangga,” katanya.

Makan Sihat, Hidup Sihat: Bagaimana Ajinomoto (Malaysia) Berhad Membentuk Gaya Hidup Lebih Sihat di Malaysia

Artikel Tajaan