
KUANTAN, 9 Februari -Seramai 155 kontraktor di Pahang dipilih bagi menjalankan kerja penyelenggaraan serta penggantian sistem elektrik lampu jalan dan infrastruktur bangunan kerajaan di negeri itu.
- 155 kontraktor dipilih untuk selenggara dan gantian sistem lampu jalan serta infrastruktur bangunan kerajaan di Pahang.
- Kerja melibatkan 67 skop, peruntukan RM6.246 juta termasuk pembaikan akibat banjir dan kerosakan kabel.
- Cadangan guna teknologi solar untuk kawasan tanpa bekalan dan lampu jalan LED untuk penjimatan tenaga.
Kerja-kerja ini melibatkan 67 skop yang telah diluluskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, dan dijangka siap pada suku pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, secara keseluruhannya ia melibatkan peruntukan sebanyak RM6.246 juta. Ia termasuk skop kerja pembaikan infrastruktur terjejas akibat banjir.
“Memasang lampu di kawasan gelap, yang sering berlaku kemalangan dan sebagainya. Ini melibatkan RM2.85 juta, kemudian kerja selengara lampu rosak, ada kes kabel dicuri dan sebagainya melibatkan RM3.41 juta.
‘”Dan kerja pembaikan akibat monsun timur laut (MTL), banjir dan sebagainya berjumlah RM590,000,” katanya kepada media selepas Majlis Sesi Libat Urus dan Majlis Kerja Undi Bersama Kontraktor Elektrik Negeri Pahang di Auditorium Darul Makmur, RTM Pahang, di sini.
Sementara itu, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Datuk Ir Ismail Hashim berkata, pihaknya mengesyorkan kontraktor menggunakan teknologi solar dan lampu lampu jalan jenis diod pemancar cahaya (LED) bagi penjimatan tenaga.
“Bagi kawasan gelap atau simpang yang tiada bekalan elektrik, lampu solar sesuai digunakan kerana tidak memerlukan infrastruktur tambahan. Jika menggunakan bekalan elektrik, kadang-kadang Tenaga Nasional Berhad (TNB) memerlukan sambungan daripada sub-stesen, yang menambah kos.
Bagi kawasan yang mempunyai bekalan elektrik sedia ada, kami mencadangkan penggunaan lampu jalan LED biasa kerana ia lebih menjimatkan tenaga,” katanya.