
KLANG, 17 Januari – Kerajaan menyasarkan sebanyak 1,500 sekolah di seluruh negara akan menyertai Program Sekolah Angkat MADANI (SAM), kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
- Sasaran 1,500 sekolah menyertai Program Sekolah Angkat MADANI tahun ini meningkat berbanding tahun lalu.
- Penyertaan meningkat disebabkan kerjasama GLC dan syarikat swasta, menunjukkan sambutan positif terhadap program.
- PLUS jalankan Hari Komuniti MyPLUS pertama kali melibatkan lima sekolah SAM dan 1,250 sukarelawan.
- Program CSR memperbaiki infrastruktur komuniti dan sekolah, memberi manfaat kepada puluhan ribu komuniti sejak 2013.
Beliau berkata jumlah berkenaan menyaksikan peningkatan daripada 921 buah sekolah terpilih berbanding pada tahun lepas memperlihatkan usaha tersebut disambut baik syarikat bukan kerajaan (GLC) dan swasta.
“Tahun lepas, sebanyak 921 sekolah terlibat SAM yang kebanyakannya datang daripada kementerian, agensi kerajaan dan juga GLC.
“Tahun ini sasaran itu meningkat susulan kerjasama dengan syarikat swasta. Mereka lihat satu perkembangan yang baik tahun lepas, jadi mereka tampil. Insya-Allah negara akan lebih maju kerana kita melabur untuk anak-anak muda dan inilah menjadi pelapis negara,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Komuniti MyPlus di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bukit Kuda, di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PLUS, Datuk Mohamad Nasir Ab Latif dan Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan UEM Group Berhad, Datuk Amran Hafiz Affifudin.
Sementara itu, Datuk Seri Amir Hamzah berkata pada tahun ini buat julung kali PLUS Malaysia Berhad (PLUS) melaksanakan Hari Komuniti MyPLUS, melibatkan lima buah SAM iaitu SMK (P) Bukit Kuda, Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari di Kedah, SK Perlok di Perak, SMK Buluh Kasap di Johor dan SK Bukit Besi di Terengganu.
“Hari Komuniti MyPLUS turut disertai 1,250 sukarelawan daripada warga PLUS dan pelajar-pelajar dari 11 institusi pengajian tinggi antaranya Universiti Teknologi Mara, Universiti Kebangsaan dan Kolej Vokasional dan Kolej Teknologi Termaju (ADTEC).
“Lebih daripada 4,081 orang pelajar dan warga pendidik daripada lima buah sekolah bawah SAM di bawah kendalian PLUS terlibat dan menerima manfaat daripada pelaksanaan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini,” katanya.
Beliau berkata dengan tema ‘Memperkasa Komuniti Selamat dan Lestari’, program CSR bagi edisi tahun kesembilan itu memberi manfaat kepada 138,255 ahli komuniti secara keseluruhan di sepanjang lebuh raya kendalian PLUS sejak program dianjurkan pada 2013.
“Sebanyak 25 lokasi projek di seluruh negara telah dipilih merangkumi kerja-kerja penambahbaikan kawasan komuniti seperti di lima buah sekolah, klinik kesihatan, pusat komuniti, taman rekreasi, kawasan pantai dan lain-lain lokasi berdekatan dengan jajaran Lebuhraya PLUS,” katanya.
Di SMK (P) Bukit Kuda, PLUS menjalankan pelbagai inisiatif penambahbaikan infrastruktur dan prasarana di sekolah itu bertujuan untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan kondusif kepada lebih 700 pelajar, warga pendidik serta kakitangan sokongan sekolah.