
KUALA TERENGGANU, 18 Mac- Seramai 150 murid kurang berkemampuan dari enam sekolah dan madrasah sekitar Chendering di sini menerima sumbangan barangan dapur dan wang tunai melalui Program Qaseh Ramadan 2026.
- Lebih RM30,000 diperuntukkan melalui kutipan warga UiTMCT dan komuniti, membiayai bantuan untuk pelajar dan keluarga yang memerlukan.
- Kerjasama dengan pihak korporat seperti Terengganu Inc meningkatkan impak program dan memastikan sasaran bantuan tercapai.
- Sumbangan dihargai guru; membantu keluarga sediakan persiapan Aidilfitri serta mencerminkan komitmen UiTMCT membantu asnaf dan murid setempat.
Turut menerima manfaat adalah 20 pelajar asnaf UiTM Cawangan Kuala Terengganu (UiTMCT).
Penolong Rektor UiTM Kuala Terengganu, Dr. Syahrul Hezrin Mahmud, berkata lebih RM30,000 diperuntukkan bagi program itu, termasuk hasil kutipan warga UiTMCT dan komuniti awam di seluruh negara.
“Kami berharap program yang baik ini dapat diteruskan. Kerjasama yang dijalankan terutamanya dengan pihak korporat seperti Terengganu Inc memberi impak amat signifikan dalam memastikan apa yang sepatutnya kita berikan kepada sasaran tercapai,” katanya.
Norazura Deraman, seorang guru, berkata sumbangan itu sangat bernilai kerana dapat membantu keluarga pelajar membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Sementara itu, penglibatan Terengganu FM setiap tahun turut memperluas hebahan program tersebut kepada masyarakat.
Ketua Bahagian Rancangan Terengganu FM, Nor Shiela Baharudin berkata UiTMCT mempunyai harapan tinggi dalam membantu asnaf dan pelajar yang memerlukan.