KUCHING, 10 Februari- Sarawak kini mempunyai 142 buah Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) yang telah berdaftar setakat 31 Januari lepas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata sebanyak 65 buah di Kuching, Samarahan (22), Miri (13), manakala lain-lain bahagian mempunyai 42 buah TASKA.
Jumlah itu melibatkan 103 TASKA institusi, 14 TASKA tempat kerja, 4 TASKA komuniti dan 21 TASKA di rumah.
Beliau berkata, proses pendaftaran tidak rumit dan akan ditapis mengikut penilaian yang dilakukan oleh pihak berkaitan.
“Pihak berkaitan kadang-kadang meminta syor, jadi kita mengikut kriteria, pihak bomba ataupun pihak berkaitan akan melihat, mereka akan pergi ke lokasi dan melihatnya sama ada pematuhan dari segi keselamatan", katanya semasa ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Plak Taska Berdaftar Di Sarawak di Dewan Wisma Kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kuching.
Katanya, dua perkara utama yang menjadi asas dalam sistem TASKA adalah keselamatan dan kelayakan pengasuh.
Terdahulu berucap pada majlis itu, beliau meminta ibu bapa dan penjaga membuat semakan di laman sesawang Jabatan Kebajikan Masyarakat di www.jkm.gov.my bagi memastikan status pendaftaran TASKA yang dipilih.
Sebanyak 3,198 TASKA berdaftar di seluruh negara akan menerima plak TASKA Berdaftar, yang mesti dipamerkan di lokasi yang mudah dilihat bagi membolehkan ibu bapa dan masyarakat mengenali TASKA yang berdaftar dengan lebih mudah.