PENDANG, 4 April- Sebanyak 14 laporan polis telah dibuat oleh beberapa cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kedah hari ini terhadap pengendali akaun TikTok "doubletrouble9977" yang didakwa memfitnah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution berhubung kutipan dana untuk Liga Super Kedah Darul Aman (KDA FC).
Video yang tular di akaun TikTok tersebut mendakwa Tabung Sumbangan Aidilfitri untuk KDA FC mengutip dana sebanyak RM5 juta, namun hanya RM200,000 disalurkan kepada pemain dan pegawai KDA FC.
Hantaran itu turut mendakwa Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) menyelewengkan wang kutipan berjumlah RM4.8 juta.
Naib Pengerusi 1 PKR Kedah Datuk Dr. Zulkifly Mohamad menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tidak benar dan berat, serta menegaskan ia berpotensi menimbulkan ketegangan dan mengganggu ketenteraman awam.
"Kami berharap siasatan segera dilakukan terhadap tuduhan tidak berasas ini supaya ia tidak berulang dalam kalangan pengguna TikTok, influencer dan pihak lain yang mudah membuat kenyataan tanpa menyemak fakta," katanya kepada pemberita di pekarangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang di sini hari ini.
Selain cabang Pendang, laporan sama turut dibuat oleh cabang PKR Alor Setar, Langkawi, Jerlun dan Pokok Sena.
Pada 25 Mac lalu, media melaporkan sumbangan sebanyak RM200,000 menerusi Tabung Aidilfitri Pemain Bola Sepak Kedah telah disampaikan oleh Saifuddin kepada barisan pemain serta pegawai KDA FC yang berdepan tunggakan gaji sehingga 10 bulan.
Tabung berkenaan diusahakan oleh tiga NGO bagi membantu meringankan beban para pemain dan pegawai menjelang sambutan Aidilfitri ini.