KUALA LUMPUR, 16 November- 14 graduan cemerlang Kolej Profesional Majlis Agama Islam Persekutuan (KPMAIWP) ditawarkan biasiswa penuh untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata bantuan itu yang julung kalinya diberi untuk memastikan pendidikan berkualiti dapat diakses oleh semua anak-anak keluarga asnaf dan berpendapatan rendah sekali gus melonjak kehidupan mereka untuk jangka masa panjang menerusi agenda pendidikan.
"Mereka ini menerima bantuan kewangan penuh daripada MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan). Oleh itu, mereka tidak perlu bimbang tentang isu seperti pembayaran yuran pengajian atau perbelanjaan makan minum. Kesemua kos ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak MAIWP."
"Mereka hanya perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada pengajian tanpa perlu dibebani oleh kebimbangan atau masalah kewangan, memandangkan mereka adalah daripada golongan yang memerlukan. Kami ingin menegaskan bahawa fokus kami bukan hanya pada kejayaan akademik semata-mata. Kami tidak mahu mereka menjadi ilmuwan yang cemerlang tetapi miskin dari sudut akhlak dan budi pekerti," kata Datuk Dr. Mohd Na'im kepada pemberita pada Sabtu.
Sementara itu, bagi penerima Anugerah Pingat Emas Menteri, Abdul Aziz Safwan Abdullah yang kehilangan ayah, memperoleh elaun MAIWP RM450 sebulan dan membantu ibu berniaga di Pasar Malam tidak mematahkan semangat beliau untuk bangkit menjadi graduan cemerlang mengubah nasib keluarga.
"Di sebalik kegagalan, saya belajar memahami erti sebenar kejayaan. Di sebalik kehilangan, saya belajar apa itu ketabahan dan kekuatan diri dan di sebalik kehadiran ibu, saya mengenal erti redha dan keberkatan daripada doa seorang ibu," kata Abdul Aziz kepada pemberita.
Seramai 479 graduan sijil dan diploma daripada pelbagai bidang pengajian telah diraikan kejayaan mereka bersama ibu dan bapa masing-masing.
