fb fb fb fb fb

13 PATI ditahan di sempadan Malaysia-Thailand

(Foto ihsan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia)

BUKIT KAYU HITAM, 14 Februari- Hasrat 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Myanmar untuk mencari pekerjaan di Malaysia tidak kesampaian.

Kesemuanya ditahan ketika cuba masuk ke negara ini menggunakan laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand di sini.

Menurut Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), bertindak atas maklumat perisikan, pihaknya telah mengesan dan menahan sekumpulan orang awam di kawasan ladang getah kerana cuba memasuki Malaysia secara haram kira-kira pukul 6.00 pagi.

"Kesemuanya tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan cuba memasuki Malaysia untuk mencari pekerjaan.

"PATI yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki dan empat wanita yang berumur antara 20 hingga 44 tahun.

"Turut dirampas adalah 12 telefon bimbit, wang dalam mata wang Malaysia, Thailand dan Myanmar, dua buah pasport serta sembilan kad pengenalan diri.

"Anggaran nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM8,139,"katanya menerusi kenyataan.

Kesemua PATI kemudian diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.


(Foto ihsan Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia)

Media Baharu