SUNGAI PETANI, 11 April- Seramai 13,500 pelajar terdiri daripada anak-anak anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersekolah di dalam kem di seluruh negara telah membuka akaun Tabung Haji.
Program bawah Skim Penabungan Anak-anak Rukun Kelima (SPARK) itu melibatkan peruntukkan keseluruhan berjumlah RM675,000 yang disumbangkan oleh Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Bawah skim tersebut, Yayasan LTAT menyumbang sebanyak RM50 untuk setiap akaun yang dibuka.
Pembayaran fasa pertama melibatkan 6,281 pelajar dengan peruntukkan berjumlah RM314,50 disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sempena Majlis Berbuka Puasa Menteri Pertahanan Bersama Warga Tentera Darat Malaysia (TDM), malam ini.
Majlis diadakan di Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah.
Turut hadir, panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Affendi Buang; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Sri Muez Abd Aziz; dan Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Sempena majlis tersebut, Datuk Sri Mohamad turut meluangkan masa beramah mesra dengan 500 warga TDM yang bersama-sama mengimarahkan Masjid An-Naim yang merupakan lokasi ketiga beliau dalam siri majlis berbuka puasa bersama warga ATM pada tahun ini selepas bersama warga TUDM di Sendayan dan warga TLDM di Langkawi.
Beliau turut menyempurnakan penyampaian sumbangan kebajikan kepada anggota TDM yang melibatkan seramai 26 orang penerima kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) dan 24 anggota lagi merupakan penerima kategori asnaf.
Sumbangan tersebut merupakan inisiatif Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam membantu meringankan beban kepada mereka yang memerlukan khususnya warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam suasana menyambut Ramadan.
Kementerian Pertahanan kekal komited di dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan Warga Pertahanan berada pada tahap terbaik, serta menjadi keutamaan sejajar dengan lima teras Kertas Putih Pertahanan.
(Datuk Seri Mohamad Hasan menyampaikan sumbangan kebajikan kepada anggota ATM)