BUKIT KATIL, 2 Mac- Seramai 13,134 pelajar di Melaka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang bermula hari ini.
Menurut Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin, daripada jumlah itu, 11,352 merupakan calon sekolah kerajaan , bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.
Manakala 711 calon dari MRSM, 28 calon dari sekolah agama negeri, 181 calon sekolah swasta dan calon persendirian seramai 862 orang.
Jelasnya, setakat ini Jabatan Pendidikan Negeri tidak menerima sebarang maklumat berkenaan kes positif dalam kalangan kesemua calon SPM berkenaan.
Bagaimanapun, calon-calon perlu mengisi borang deklarasi kesihatan serta memeriksa suhu badan setiap hari sebelum dibenarkan masuk ke dewan peperiksaan.
"Setakat ini untuk di asrama, kita tidak mempunyai lagi kes dijangkiti COVID-19, Alhamdulillah semua telah pun melepasi fasa itu jadi jumlah kalau ada pun mungkin yang dari rumah, kita tak dapat tahu lagi tapi yg untuk hari ini di asrama dan sebagainya semua berjalan dengan baik,"katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil.
Mengulas lanjut, beliau turut menasihati semua pelajar agar kekal mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika berada di premis sekolah dan menjaga kesihatan sepanjang tempoh peperiksaan.
(Exco Pendidikan dan Teknologi Melaka, Datuk Rais Yasin)