
aset kereta api sedia ada bagi menampung permintaan tinggi. Foto/BERNAMA
KUALA LUMPUR, 10 Februari – Tiket perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi tempoh perjalanan dari 13 hingga 22 Februari telah habis terjual melibatkan 131,879 tempat duduk.
- 12,600 tiket ETS tambahan untuk sektor KL Sentral dan JB Sentral akan mula dijual 11 Februari 2026 pada pukul 12.15 pagi.
- KTMB mengoptimumkan aset sedia ada dengan menambah 26,460 tempat duduk sempena Tahun Baru Cina.
- Jumlah tiket tambahan keseluruhan bagi Tahun Baru Cina ialah 46,404, naik 426 peratus berbanding tahun lepas.
- KTMB perkenalkan tujuh set ETS3 baharu dan EMU Plus, serta operasi hampir 24 jam sepanjang tempoh perayaan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, sempena sambutan Tahun Baru Cina, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) telah mengoptimumkan penggunaan aset kereta api sedia ada bagi menampung permintaan tinggi, melibatkan penambahan 26,460 tempat duduk.
”Sukacita saya umumkan di sini juga sebanyak 12,600 tiket tambahan lagi bagi sektor KL Sentral, JB Sentral, KL Sentral bagi tempoh 13 hingga 22 Februari akan mula dijual esok (11 Februari 2026) pada pukul 12.15 tengah malam menggunakan set ETS3 ketujuh yang baru sahaja diluluskan.
“Perkembangan ini selaras dengan hala tuju yang diberikan oleh Kementerian Pengangkutan untuk mencari pendekatan inovatif supaya penggunaan aset kereta api KTMB dapat dimaksimumkan. KTMB buat pertama kalinya akan memperkenalkan perkhidmatan EMU Plus untuk Tahun Baru Cina”, beliau menjawab soalan wakil Ipoh Timor, Lee Chuan How di Dewan Rakyat.
Secara keseluruhan, KTMB akan menyediakan 46,404 tiket tambahan sempena Tahun Baru Cina tahun ini, meningkat 426 peratus berbanding 8,820 tiket yang ditawarkan pada tahun lalu.
Peningkatan itu didorong oleh penambahan tujuh set ETS3 serta pengoperasian perkhidmatan ETS selama hampir 24 jam sepanjang tempoh perayaan.
Sementara itu, bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri, KTMB merekodkan jualan 118,823 tiket ETS setakat hari ini, merangkumi 53 peratus daripada 224,196 tempat duduk yang ditawarkan bagi semua sektor untuk tempoh 13 hingga 29 Mac 2026.
Pengumuman mengenai penjualan tiket tren tambahan bagi Hari Raya Aidilfitri akan dibuat selepas kesemua tiket sedia ada habis terjual.