122 anak-anak kurang berkemampuan terima sumbangan Aidilfitri

Program Shopping Raya POKB PEKEMA 2026

KOTA BHARU, 28 Februari Seramai 122 anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan di Kelantan menerima sumbangan RM200 setiap seorang menerusi Program Shopping Raya POKB PEKEMA 2026 bagi membeli barangan keperluan Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • 122 anak kurang berkemampuan di Kelantan terima sumbangan RM200 setiap seorang untuk keperluan Aidilfitri.
  • Program anjuran POKB dengan PEKEMA dan Pasaraya Mydin sebagai inisiatif kebajikan tahunan.
  • Sumbangan membantu meringankan beban keluarga, termasuk ibu tunggal dan bapa penerima.
  • Fokus program pada anak yatim, pelajar tahfiz, keluarga asnaf B40 dan anak OKU.

Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Datuk Nik Izani Nik Ibrahim berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan pihaknya dalam memastikan kebajikan masyarakat sentiasa diberi perhatian, khususnya dalam membantu golongan memerlukan membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih sempurna.

“Setiap tahun kita memperuntukkan antara RM200,000 hingga RM300,000 dengan sokongan rakan strategik bagi menjayakan program ini,” katanya.

Program tersebut diharap bukan sahaja dapat menceriakan sambutan Syawal malah mengukuhkan semangat kebersamaan, keprihatinan dan solidariti dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Muhammad Zafirullah Mohd Zaidi meluahkan rasa gembira kerana berpeluang membeli pakaian Aidilfitri.

“Saya amat gembira kerana berpeluang membeli pakaian baharu untuk sambutan hari raya,” katanya.

Seorang bapa penerima, Bilal Mamat menyifatkan bantuan berkenaan amat bermakna dalam meringankan beban keluarga membuat persiapan Aidilfitri.

“Perbelanjaan memang banyak terutamanya menjelang Aidilfitri. Jadi bantuan ini memang meringankan beban kami satu keluarga,” katanya.

Bagi ibu tunggal, Norfarizam Ismail, sumbangan tersebut amat dihargai kerana beliau menanggung keluarga secara bersendirian dan bantuan itu meringankan beban persiapan saat akhir.

“Perbelanjaan memang banyak ketika Aidilfitri ini, sebab saya tanggung seorang. Dengan bantuan ini ia memang mengurangkan perbelanjaan saya,” katanya.

Program anjuran Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) serta Pasaraya Mydin itu merupakan inisiatif kebajikan tahunan bagi membantu golongan memerlukan.

Program berkenaan memfokuskan kepada anak-anak yatim, pelajar tahfiz, keluarga asnaf B40 serta anak-anak orang kurang upaya (OKU).