fb fb fb fb fb

12 sungai melebihi paras bahaya pagi ini

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 10 Januari- Sejumlah 12 stesen sungai yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) merekodkan bacaan melebihi paras bahaya, setakat pukul 9.00 pagi tadi.

Menerusi laman sesawang InfoBanjir JPS, tujuh daripadanya dicatatkan di negeri Pahang.

Ia melibatkan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin dengan bacaan 23.08 meter (m), Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin (15.75m), Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, Rompin (13.34m), Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan (17.04m), Sungai Jempol di Rancangan Felda Jengka, Maran (31.12m), Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran (19.14m) dan Sungai Pahang Tua di Rumah Pam Pahang Tua, Pekan (9.37m).

Sementara lima sungai di negeri itu melebihi paras amaran, manakala sembilan lagi melebihi paras waspada.

Di Johor pula, empat sungai melebihi paras bahaya iaitu Sungai Linggiu di Linggiu, Kota Tinggi (30.44m), Sungai Kahang di Kampung Contoh, Kluang (15.1m), Sungai Johor di Kota Tinggi, Kota Tinggi (2.84m) dan Sungai Kepala Orang di Kampung Sri Jaya, Kota Tinggi (8.76).

Sebanyak lima sungai lain melebihi paras amaran dan 12 lagi melebihi paras waspada.

Terengganu merekodkan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu melebihi paras bahaya dengan bacaan 20.63m, manakala Empangan Puah, Hulu Terengganu melebihi paras waspada (297m).

SITI AISHAH BINTI MD ISA