fb fb fb fb fb

12 murid dijangkiti HFMD, SJKC di Bahau diarah tutup empat hari

Kakitangan kesihatan melakukan kerja pembersihan di semua kelas di sebuah SJKC di Bahau pada Jumaat lalu

JEMPOL, 22 Jun - Sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Bahau yang merekodkan 12 murid dijangkiti jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan ditutup selama empat hari selaras dengan kuasa di bawah Subseksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Datuk Dr Roslan Hussin berkata, arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berkuat kuasa Jumaat lalu hingga Isnin ini.

Beliau berkata, wabak berkenaan menular khususnya dalam kalangan seramai 12 orang pelajar yang mana pada awalnya seramai lapan murid dikesan dijangkiti HMFD.

"Sekolah ini mempunyai 419 murid, pada awalnya tiga buah kelas ditutup pada Khamis lalu yang mana lapan murid dikesan dijangkiti HMFD.

"Bagaimanapun keesokkannya empat lagi murid dikesan dijangkiti penyakit sama sebelum semua kelas membabitkan 17 kelas ditutup," katanya dalam satu kenyataan ringkas pada Sabtu.

Susulan itu, beliau menasihati agar semua ibu bapa yang terlibat memberi perhatian kepada kesihatan anak-anak, sentiasa mengawasi mereka selain mengambil nasihat daripada pihak kesihatan.

PKD Jempol mengeluarkan notis penutupan sekolah pada Jumaat lalu bermula Jumaat hingga Isnin bertujuan menjalankan kerja-kerja mencegah bermulanya atau merebaknya sesuatu penyakit berjangkit.

GRACE AISYAH KEDAYAN