fb fb fb fb fb

111 keluarga JPJ terjejas banjir di seluruh negara

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan

KOTA BHARU, 21 Disember - Seramai 111 keluarga pegawai dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di seluruh negara terkesan akibat bencana banjir baru-baru ini.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, paling ramai terjejas ialah di Kelantan iaitu 60 keluarga termasuk dua di Akademi JPJ Wilayah Timur, Kedah 21 keluarga, Terengganu 19, masing-masing empat di Selangor dan Perlis, dua di Pahang dan satu keluarga di Sabah.

Beliau berkata, Skuad Ehsan MADANI yang disertai sukarelawan JPJ telah digerakkan negeri terbabit untuk menyampaikan sumbangan, bagi meringankan beban dan penderitaan ditanggung pegawai dan anggota terlibat.

Ia adalah hasil kerjasama beberapa syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang prihatin menyumbang melalui Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, sebagai tanda simpati dan keprihatinan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada penduduk terjejas banjir.  

"Hari ni kita akan agihkan sebahagian ke beberapa lokasi melalui sumbangan Datuk Seri Shamsul, kita akan agihkan kepada 52 keluarga terjejas terdiri daripada pendudukdi Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah. Jadi harapan kami dengan sedikit sumbangan daripada kami mungkin dapat mengurangkan bebanan sahabat-sahabat kita yang telah terjejas dengan bencana banjir," kata Kifli.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Sumbangan Bantuan Banjir Skuad Ihsan Madani JPJ, di sini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah dan Pegawai Khas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Siti Fatma Omar.

Dalam majlis itu, tiga katogeri penerima sumbangan termasuk warga kerja JPJ, penduduk terjejas serta pengamal media yang turut terjejas banjir.

Hampir 500 sukarelawan terdiri daripada warga kerja JPJ menyertai Skuad Ehsan MADANI yang telah dirasmikan Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan Datuk Aedy Fadly Ramli pada Selasa lalu.

Penubuhannya sebagai inisiatif JPJ untuk memberikan bantuan pasca banjir kepada mangsa banjir di beberapa negeri terjejas khususnya melibatkan warga kerja jabatan  berkenaan.

Mengulas mengenai aset JPJ yang terjejas Muhammad Kifli berkata, walaupun situasi banjir agak teruk kali ini namun kesemua aset milik jabatan itu selamat.

Sementara itu, pihaknya meneruskan perkhidmatan JPJ Mobile ke kawasan terjejas khususnya di sekitar Rantau Panjang serta Tumpat untuk memberikan perkhidmatan secara terus dan akan bergerak ke lokasi lain mengikut permintaan.

TETITIA YUSOFF