11 Bazar Ramadan Rahmah di Perak tawar juadah RM5 ke bawah

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail (kiri)/Foto BERNAMA

IPOH, 24Februari – Sebanyak 11 lokasi Bazar Ramadan Rahmah (BRR) dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di seluruh negeri tahun ini bagi membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

RINGKASAN BERITA AI
  • 11 lokasi Bazar Ramadan Rahmah dilaksanakan KPDN Perak di seluruh negeri membantu meringankan kos sara hidup.
  • 465 peniaga terlibat menawarkan juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.
  • Pelaksanaan dibantu lapan cawangan KPDN Perak, meliputi hampir semua daerah termasuk Ipoh dan Teluk Intan.
  • Op Pantau 2026 periksa 860 premis; 27 kompaun dikeluarkan, kebanyakannya gagal pamer tanda harga.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, seramai 465 peniaga terlibat dalam inisiatif di bawah Program Payung Rahmah MADANI itu dengan menawarkan pilihan juadah Rahmah pada harga RM5 dan ke bawah.

“Kita ada lapan cawangan KPDN Perak yang membolehkan pelaksanaan BRR dibuat dengan lebih mudah mengikut kawasan pejabat cawangan.

Ini membolehkan hampir semua daerah diliputi, termasuk lokasi yang mempunyai dua bazar seperti Ipoh dan kawasan Teluk Intan hingga Bagan Datuk,” katanya.

Beliau ditemui ketika lawatan tinjauan serta pelancaran BRR Taman Cempaka dan Program Ihsan Food Bank di Ipoh, hari ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau memaklumkan sebanyak 860 premis di seluruh Perak diperiksa menerusi Op Pantau 2026 yang bermula 19 Februari lalu.

Sebanyak 27 kes dikenakan kompaun serta-merta dengan nilai keseluruhan RM6,000.

Daripada jumlah itu, 23 kes melibatkan kesalahan gagal mempamerkan tanda harga manakala empat kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.