JOHOR BAHRU, 23 Februari- Seramai 109 pendatang asing termasuk seorang majikan warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Johor di Skudai dan Senai.
Ia melibatkan 47 individu di sebuah pasaraya, manakala 62 lagi di kawasan perindustrian dan lokasi tumpuan warga asing.
Pengarah Jabatan Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, semua warga asing itu bekerja tanpa permit yang sah.
"Tangkapan di pasaraya di Skudai melibatkan 22 lelaki dan tiga wanita Indonesia, 15 lelaki dan tiga wanita Myanmar, dua lelaki Bangladesh dan seorang lelaki India berusia 22 hingga 59 tahun. Manakala di Senai, 11 individu ditahan di sebuah kilang dan 52 orang lagi di 16 lokasi tumpuan sekitar zon berkenaan", katanya dalam kenyataan.
Ia melibatkan 53 lelaki dan 9 wanita berusia 21 hingga 49 tahun.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.