104 Pelajar Asnaf Perlis Sertai Bengkel Matematik dan Program Cilik AI

Pelajar asnaf Perlis diberikan pendedahan teknologi melalui Bengkel Matematik dan Cilik AI

KANGAR, 21 Februari – Seramai 104 pelajar sekolah rendah dan menengah dari seluruh Perlis menyertai Bengkel Matematik dan Program Cilik AI yang diadakan bagi memperkasa pencapaian akademik serta pendedahan teknologi dalam kalangan pelajar asnaf.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bengkel bertujuan meningkatkan pengetahuan dan membangunkan potensi pelajar dalam mata pelajaran Matematik untuk persediaan SPM.
  • Program Cilik AI melibatkan 74 pelajar, memberi pendedahan awal asas robotik dan pengaturcaraan.
  • Program membantu pelajar memahami perkembangan teknologi terkini yang berpotensi diterokai pada masa hadapan.
  • Program dianjurkan bersama beberapa institusi pendidikan dan badan agama negeri Perlis.

Kesemua peserta merupakan penerima manfaat Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM).

Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin, Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin berkata, pelaksanaan bengkel tersebut bertujuan meningkatkan pengetahuan serta membangunkan potensi sebenar setiap pelajar, khususnya dalam mata pelajaran Matematik sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Menurut beliau, Program Cilik AI yang disertai 74 pelajar pula memberi pendedahan awal mengenai asas robotik dan pengaturcaraan, selain membantu pelajar memahami perkembangan teknologi terkini yang berpotensi untuk diterokai pada masa hadapan.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bengkel Matematik dan Program Cilik AI di sini.

Program berkenaan merupakan anjuran bersama Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Universiti Malaysia Perlis serta Universiti Utara Malaysia.