fb fb fb fb fb

1000 peserta sertai kayuhan rentasi Taman Putrajaya, sokong agenda bandar lestari

peserta kayuhan rentasi Taman Putrajaya

PUTRAJAYA, 7 Disember - Perbadanan Putrajaya (PPj) sekali lagi menganjurkan program Kayuhan Rentasi Taman Putrajaya (PIPR) yang berjaya menarik penyertaan seramai 1,000 peserta.

PIPR yang memasuki siri penganjuran ke-35 sejak diperkenalkan pada 30 Mei 2010, kini menjadi platform strategik bagi menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan dan Kesejahteraan) dan SDG 11 (Bandar dan Komuniti Mampan).

Acara kali ini menawarkan laluan kayuhan sejauh 15kilometer (km) dan 40km, membolehkan peserta menikmati pengalaman berbasikal melalui trek yang selamat dan mesra pengguna sambil diserikan pemandangan flora dan fauna.

Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kesedaran mengenai pemuliharaan alam sekitar, malah mewujudkan peluang publisiti organik melalui perkongsian pengalaman peserta di media sosial.

Hadir bagi merasmikan program, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir, menggalakkan masyarakat untuk memanfaatkan kemudahan rekreasi awam sambil menyokong agenda bandar lestari.

Selain aspek rekreasi, penganjuran PIPR turut memberikan impak positif kepada ekonomi setempat.

Tarikan baharu seperti Rumah Makan berkonsepkan masakan Nusantara menjadi tumpuan pengunjung, manakala peniaga sukan dan basikal tempatan juga mendapat peluang perniagaan sepanjang acara.

PPj menegaskan bahawa, penganjuran PIPR adalah sebahagian daripada komitmen untuk membudayakan gaya hidup sihat, memaksimumkan penggunaan kemudahan awam, serta memperkukuh identiti Putrajaya sebagai bandar mampan yang menyokong kesejahteraan fizikal, mental dan sosial komuniti.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN