
KUALA LUMPUR, 14 Mac – Kira-kira 1,000 pek makanan sahur diagihkan kepada petugas barisan hadapan di sekitar Lembah Klang menerusi program ‘Santuni Sahur’, awal pagi semalam (Jumaat).
- Sumbangan Perdana Menteri diwakili Anwar Ibrahim Club bersama AMK Selangor dan GENK menerusi program Santuni Sahur.
- Program bertujuan menyuntik semangat petugas barisan hadapan sebagai penghargaan ketika mereka bertugas.
- Misi melibatkan beberapa lokasi sekitar Lembah Klang, diakhiri sesi sahur bersama Rumah Kebajikan, dan program akan diperluas kepada golongan B40 tahun hadapan.
Inisiatif tersebut merupakan sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diwakili Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor serta Pertubuhan Generasi Penggerak Kebangsaan (GENK).
Pegawai Khas Perdana Menteri, Azmi Mohd Noor menjelaskan, program itu bertujuan menyuntik semangat buat petugas yang setia berkhidmat tanpa mengira waktu.
“Ini cuma satu usaha kecil kami untuk menghargai frontliners yang ada di sini. Mereka adalah barisan petugas hadapan, wira kita semua yang bertugas ketika orang lain sedang berehat.”
“Kelainan yang kami bawakan pada tahun ini adalah menyantuni petugas barisan hadapan berbeza dengan tahun sebelumnya yang menyasarkan golongan gelandangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan sumbangan tersebut di sebuah pusat perubatan di sini.
Hadir sama, Pakar Perubatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Mohd Zahir Amin Mohd Nazri dan Ketua AMK Selangor, Muhammad Iman Haziq.
Misi agihan melibatkan 10 lokasi di sekitar Petaling Jaya, Bandar Tun Razak dan Ampang antaranya Ibu pejabat polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya dan Unit Kecemasan PPUM.
Konvoi diakhiri dengan sesi sahur bersama penghuni Rumah Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf di Ampang.
Program tahunan itu bakal diperluas kepada golongan B40 pada tahun hadapan bagi memastikan lebih banyak komuniti mendapat manfaat.