1,000 kedai koperasi dikenal pasti, sertai program MyKasih dan SARA

Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR, 24 Februari -Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah mengenal pasti 1,000 kedai runcit koperasi di seluruh negara untuk menyertai pelaksanaan program bantuan kerajaan menerusi platform MyKasih.

RINGKASAN BERITA AI
  • ANGKASA kenal pasti 1,000 kedai runcit koperasi untuk sertai pelaksanaan bantuan kerajaan melalui MyKasih.
  • Kedai terpilih membolehkan penerima SARA gunakan bayaran digital untuk membeli barangan keperluan asas.
  • Fokus inisiatif pada kawasan luar bandar dan pedalaman untuk kurangkan kos perjalanan dan masa penerima bantuan.
  • Penilaian kedai dijangka selesai menjelang hujung tahun; ANGKASA juga edar 700 pek bantuan Ramadan.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, pelantikan itu akan membolehkan penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) serta bantuan berkaitan membeli barangan keperluan asas di kedai koperasi terlibat menggunakan sistem bayaran digital.

Proses penilaian dan pertimbangan bagi kedai runcit tersebut dijangka dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini.

Inisiatif itu memberi penekanan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memudahkan penerima bantuan mendapatkan barangan keperluan asas di lokasi berhampiran, sekali gus mengurangkan beban kos perjalanan dan masa.

“Hampir separuh daripada kos yang ditanggung bukan sahaja untuk membeli barangan, tetapi melibatkan kos pengangkutan, bayaran parkir dan minyak. Jika penerima boleh menunaikan bantuan di kedai berhampiran tempat tinggal mereka di kampung, isu itu dapat dielakkan dan mereka dapat memaksimumkan nilai peruntukan yang diterima,” katanya selepas menyampaikan sumbangan iftar kepada warga RTM di Kota Media, Angkasapuri.

Sebanyak 700 pek bantuan Ramadan diagihkan sebagai inisiatif kebajikan ANGKASA dan usaha menyantuni warga media yang telah menjalin kerjasama dengan agensi itu .