
KUALA LUMPUR, 24 Februari – Seramai 100 remaja perempuan daripada kumpulan rentan menyertai Program YKN Kasih Ramadan: HER Journey yang bertujuan memperkasa jati diri, kestabilan emosi serta hala tuju kehidupan mereka.
- Program bertujuan memperkasa jati diri, kestabilan emosi dan hala tuju remaja perempuan rentan.
- Peserta dibimbing melalui pengisian rohani, sokongan emosi, kaunseling dan ilmu perlindungan diri.
- Peserta berusia 15–19 tahun termasuk anak yatim, mangsa penderaan dan remaja di bawah Perintah Mahkamah.
- Sokongan rakan strategik sektor perbankan dan korporat selaras nilai teras K.A.S.I.H.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, remaja perempuan yang melalui fasa kehidupan mencabar memerlukan sokongan berterusan, keyakinan diri dan bimbingan bagi membina masa depan yang lebih terarah.
“Kita perlu sedar terdapat remaja perempuan yang sedang melalui fasa kehidupan mencabar dan memerlukan bimbingan serta peluang untuk membina semula kekuatan diri dan melangkah ke hadapan dengan lebih yakin,” katanya ketika berucap merasmikan Program YKN Kasih Ramadan: Her Journey di sini, hari ini.
Beliau menyifatkan inisiatif itu sebagai platform intervensi menyeluruh dan berfokus dalam membantu peserta mengenali potensi diri serta mengukuhkan semangat.
“Sepanjang program ini, para peserta dibimbing melalui pengisian rohani, sokongan emosi, sesi kaunseling serta pendedahan ilmu perlindungan diri bagi memastikan mereka mempunyai kekuatan dan pengetahuan membina masa depan lebih baik,” katanya.
Program dua hari itu menghimpunkan peserta Program Anjung Sinar YKN berusia antara 15 hingga 19 tahun, terdiri daripada anak yatim piatu, mangsa penderaan atau pengabaian serta remaja di bawah Perintah Mahkamah mengikut Akta Kanak-Kanak 2001.
Antara pengisian utama termasuk sesi pendedahan risiko jenayah seksual oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia, SAC Siti Kamsiah Hassan serta slot inspirasi Journey of Hope bersama pelakon Wan Sharmila dan penceramah bebas Ustazah Muzayannah Abdullah.
Program itu turut mendapat sokongan rakan strategik sektor perbankan dan korporat selaras nilai teras K.A.S.I.H yang digariskan kementerian bagi memperkukuh pembangunan komuniti secara inklusif dan mampan.