fb fb fb fb fb

100 pasangan pengantin dirai pada program Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka

(Pasangan pengantin yang diraikan pada program 
Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka)

KUALA LUMPUR, 29 Januari- Seramai 100 pasangan pengantin terdiri daripada golongan asnaf fakir, miskin dan mualaf diraikan secara besar-besaran pada program Walimatul Urus Perdana di Dataran Merdeka, hari ini.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang bertindak sebagai penganjur program dilihat sebagai pemudah cara, sekali gus menjadikan perkahwinan sebagai sunnah yang mudah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kesemua pengantin merupakan penerima skim bantuan perkahwinan yang ditawarkan MAIWP sejak 2016.

"Skim Bantuan Perkahwinan merupakan salah satu Skim Bantuan Zakat daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan oleh MAIWP.

"Bantuan ini telah diperkenalkan sejak tahun 2006 bertujuan meringankan beban bakal pengantin dalam mengadakan majlis walimatul urus.

"Pada tahun 2022, MAIWP telah membantu seramai 412 penerima melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.08 juta," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis itu, di sini.

(Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar)

Setiap pasangan turut diberi sepersalinan pakaian pengantin lengkap dengan perhiasan, selain sumbangan wang tunai antara RM3,000 hingga RM5,000.

Bertemakan 'Nostalgia Adat Istiadat Kegemilangan Melayu Islam', pasangan pengantin turut diarak menaiki bas 'Hop on Hop Off' mengelilingi Jalan Raja Laut sebelum disandingkan di pelamin yang disediakan di Dataran Merdeka.

Media Baharu